Ujian Ketahanan Telefon Pixel Dikongsikan Oleh Google
Tak pernah kita tahu ujian ketahanan telefon, tiba-tiba ada kisah yang menyebabkan Google berkongsi ujian telefon mereka. Apa-apapun, hasilnya memang mengagumkan!
Kisah ini sangat mengejutkan ramai pengguna telefon. Mungkin anda juga akan fikirkan untuk gunakan telefon Pixel selepas ini!
Pixel 6a Bertahan 6 Bulan Dalam Salji?
Kisah ini bermula apabila seorang pengguna Pixel bernama Andrew Prag berkongsi pengalaman luar biasa mengenai telefon Pixel 6a miliknya. Ketika bermain ski, dia kehilangan telefonnya di kawasan bersalji. Namun, selepas 6 bulan tertanam dalam salji, telefon itu masih berfungsi dengan baik apabila ditemui semula!
Situasi ini mencetuskan perbincangan hangat di kalangan pengguna dan menarik perhatian Google untuk berkongsi rahsia di sebalik ketahanan luar biasa peranti mereka.
Gambar dibawah ini adalah gambar telefon pixel milik Andrew setelah berbulan-bulan ia tertanam di dalam salji di gunung.

Pasukan Kejuruteraan Integriti Produk Adalah Pelindung Telefon Pixel
Menerusi blog rasminya, Google menjelaskan bahawa ketahanan telefon Pixel bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil kerja keras Pasukan Kejuruteraan Integriti Produk.
Tugas utama pasukan ini adalah memastikan setiap model telefon Pixel boleh menahan cabaran harian pengguna, dari jatuhan tidak sengaja hinggalah kepada suhu ekstrem.
Mereka menggunakan pendekatan Design Failure Mode and Effects Analysis (DFMEA) yang bertujuan mengenal pasti kelemahan reka bentuk dan menyelesaikan masalah sebelum telefon sampai ke tangan pengguna.
Ketua Pasukan Kejuruteraan Integriti Produk Google Pixel, Ajay Kamath, berkata:
“Kami bermula dengan memahami bagaimana pelanggan menggunakan produk kami. Kemudian, kami mereka bentuk ujian yang boleh diulang secara saintifik untuk mengenal pasti punca masalah dan membaikinya.”
Ujian Ketahanan Yang Dilalui Telefon Pixel
Untuk memastikan telefon Pixel benar-benar tahan lasak, Google telah membangunkan pelbagai ujian tekanan yang mensimulasikan situasi penggunaan sebenar. Antara ujian yang dijalankan termasuklah seperti berikut:
1. Simulasi Penggunaan Harian
Telefon diuji menggunakan lengan robot yang berulang kali memasukkan dan mengeluarkan peranti dari beg, seperti yang biasa dilakukan oleh pengguna setiap hari.
2. Ujian Jatuh Berulang
Telefon Pixel dijatuhkan dari ketinggian rendah berulang kali untuk mengukur ketahanan terhadap hentakan kecil, seperti ketika telefon tergelincir dari meja atau poket.
3. Ujian Gegaran Berterusan
Google menggunakan motor khas untuk mensimulasikan gegaran yang dialami telefon apabila dibawa dalam beg atau diletakkan dalam kenderaan yang bergerak.

4. Ujian Altitud Tinggi
Untuk menguji daya tahan telefon di persekitaran bertekanan rendah, telefon Pixel diletakkan dalam persekitaran seperti di ketinggian 14,000 kaki, ketinggian yang setara dengan perjalanan udara tanpa tekanan.
5. Ujian Suhu Ekstrem
Telefon Pixel didedahkan kepada suhu serendah iaitu 30°C hingga 75°C. Ini mensimulasikan keadaan di mana telefon dibiarkan dalam kereta yang panas terik atau berada dalam suhu sejuk melampau.
Ketahanan Pixel Ini Bukan Untuk Disalahgunakan!
Walaupun ujian ketahanan ini membuktikan bahawa telefon Pixel adalah antara peranti yang paling tahan lasak di pasaran, Google tetap mengingatkan pengguna agar tidak sengaja menjatuhkan atau menyalahgunakan telefon mereka.
Menurut Ajay Kamath:
“Kami tidak mahu orang berasa seperti mereka boleh melakukan apa sahaja dengan produk kami, tetapi adalah luar biasa apabila telefon masih bertahan dalam situasi di luar jangkaan.”

Google telah membuktikan bahawa mereka tidak hanya fokus pada prestasi dan teknologi, tetapi juga daya tahan produk mereka. Dengan pelbagai ujian ketahanan yang ketat, telefon Pixel direka untuk menahan cabaran kehidupan seharian pengguna.
Namun, ini tidak bermakna pengguna boleh sesuka hati menguji ketahanan telefon dengan menjatuhkannya atau meninggalkannya di dalam salji selama berbulan-bulan!
Apa yang jelas, Google serius dalam memastikan telefon Pixel boleh bertahan lebih lama, memberikan nilai yang lebih baik kepada pengguna.
Jadi, kalau anda mencari telefon pintar yang tahan lasak, berprestasi tinggi, dan boleh diharap, mungkin telefon Pixel adalah pilihan yang tepat untuk anda.
Jom baca juga,
Lindung Akaun Media Sosial Kena Hack, Buat Perkara Ini!
10 Telefon Pintar Terbaik Harga Bawah RM 1,000