Dark Web vs Deep Web, Perbezaan dan rahsia disebaliknya?
Bila sebut tentang internet, ramai yang ingat kita hanya guna laman web biasa seperti media sosial, YouTube, dan Google. Tapi sebenarnya, internet ada bahagian yang lebih besar dan misteri iaitu Deep Web dan Dark Web.
Ramai yang keliru dengan dua istilah ini, jadi jom kita bongkar perbezaannya dan apa sebenarnya yang ada dalam dunia tersembunyi ini!

Deep Web (Bahagian Internet yang Tak Boleh Dicari di Google)
Ada website yang kita boleh lihat dan jumpa dekat Google, tapi ada juga yang sebaliknya. Apa itu Deep Web? Adakah ia sesuatu yang berbahaya dan memberi kesan kepada kita semua, terutama mereka yang terlibat dengannya?
Untuk pengetahuan anda, Deep Web bukanlah sesuatu yang menakutkan seperti yang ramai sangka. Ia merujuk kepada bahagian internet yang tidak diindeks oleh enjin carian seperti Google atau Bing. Jelas?
Contoh laman Deep Web termasuklah seperti berikut:
- Akaun bank online – Maklumat akaun peribadi yang hanya anda boleh akses.
- Emel peribadi – Mel yang tersimpan dalam akaun Gmail atau Outlook anda.
- Sistem dalaman syarikat – Data yang hanya boleh dilihat oleh pekerja syarikat tertentu.
- Laman web universiti – Pangkalan data penyelidikan dan jurnal akademik.
Secara asasnya, Deep Web ialah tempat semua data peribadi dan rahsia disimpan. Tanpa kata laluan atau kebenaran, mustahil orang luar boleh mengaksesnya. Ia selamat jika kita menjaganya dengan baik, dan ia adalah melalui sistem yang selamat. Jadi, anda tak perlu risau.

Dark Web (Dunia Misteri dan Penuh Rahsia)
Berbeza dengan Deep Web, Dark Web adalah bahagian internet yang sengaja disembunyikan dan hanya boleh diakses dengan perisian khas seperti Tor (The Onion Router). Ini kerana laman web dalam Dark Web tidak boleh dilayari dengan pelayar biasa seperti Chrome atau Firefox.
Apa yang ada dalam Dark Web?
- Pasaran gelap – Ada laman menjual dadah, senjata, dan dokumen palsu.
- Forum perbincangan rahsia – Tempat orang berkongsi maklumat tanpa identiti sebenar.
- Maklumat bocor – Kadang-kadang, dokumen rahsia kerajaan atau syarikat boleh dijumpai di sini.
- Perkhidmatan ‘underground’ – Seperti penggodam yang menawarkan perkhidmatan mereka.
Tetapi, bukan semua perkara dalam Dark Web adalah jahat! Ada juga wartawan dan aktivis yang menggunakannya untuk berkomunikasi secara selamat tanpa risiko ditangkap oleh pihak berkuasa.
Bagaimana Dark Web Berfungsi?
Untuk mengakses Dark Web, pengguna perlu menggunakan rangkaian seperti Tor, yang menyembunyikan identiti pengguna dengan menyulitkan data dan menghalakan trafik melalui pelbagai lapisan pelayan di seluruh dunia.
Inilah sebabnya Dark Web sering dikaitkan dengan anonimitas tinggi dan sukar untuk dijejaki. Kerana kerahsiaannya, ia menjadi tempat pilihan bagi individu yang mahu kekal tanpa nama, sama ada untuk tujuan baik atau jahat.

Adakah Selamat Melayari Dark Web?
Jawapannya, ia bergantung kepada apa yang anda lakukan. Jika hanya melayari untuk memahami bagaimana ia berfungsi atau membaca forum rahsia, mungkin tidak ada masalah. Tetapi jika anda cuba membeli sesuatu yang haram atau berurusan dengan penggodam, risiko sangat tinggi.
Selain itu, bahaya melayari Dark Web juga adalah kerana,
- Perisian hasad (malware) – Banyak laman web cuba mencuri data anda tanpa anda sedar.
- Penipuan – Banyak transaksi menggunakan Bitcoin, jadi sukar untuk dapatkan kembali wang jika ditipu.
- Dipantau oleh pihak berkuasa – Sesetengah laman Dark Web sering dipantau oleh kerajaan atau organisasi keselamatan.
Deep Web adalah sebahagian besar internet yang selamat dan biasa digunakan oleh semua orang tanpa disedari. Dark Web pula lebih eksklusif dan mempunyai kandungan yang tidak sesuai untuk semua.
Jika anda hanya pengguna biasa yang mahu menggunakan internet untuk kerja, belajar, atau hiburan, Deep Web adalah sesuatu yang anda guna setiap hari tanpa sedar. Tetapi jika anda ingin meneroka Dark Web, pastikan anda tahu risiko yang terlibat dan sentiasa berhati-hati.
Jemput baca juga artikel berikut:
Ujian Ketahanan Telefon Pixel Dikongsikan Oleh Google